SWM Environment Tidak Bercuti Ketika Hari Raya. Menyediakan Perkhidmatan Kutipan Sampah Di Lokasi Tumpuan Pengunjung.

(Seremban, 08.06.18) YB Tuan Teo Kok Seong, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan,
Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru menyatakan bagi menyambut kedatangan musim perayaan, SWM Environment telah menyediakan perkhidmatan kutipan sampah di kawasan perumahan dan lokasi tumpuan pengunjung di seluruh Negeri Sembilan bagi memastikan tahap kebersihan adalah terjamin.

Beliau memberitahu pihak syarikat akan menghantar pekerja tambahan di bazar Raya, bazar Ramadan, pasar tani mega, pasaraya, pantai peranginan, kediaman pegawai kerajaan yang menganjurkan Rumah Terbuka Hari Raya dengan membuat kutipan sampah bagi mengelakkan sampah yang bertimbun.

Beliau bekerjasama dengan SWM Environment pada petang itu di bazar Ramadan Stadium Paroi selepas mengedar bubur lambuk kepada orang ramai.

Beratus Pekerja Akan Bekerja.

Beliau memberitahu SWM Environment akan meneruskan perkhidmatan ketika Hari Raya bagi memastikan kutipan sampah di kawasan perumahan dan lokasi tumpuan pengunjung berjalan lancar ketika perayaan.

“Kami juga telah mewujudkan Unit Khas Raya di setiap daerah, dimana sejumlah 36 orang anggota akan bekerja pada Hari Raya pertama dan Hari Raya kedua bagi menjalankan kerja-kerja kecemasan.

Beliau memberitahu pada Hari Raya pertama (15 haribulan), terdapat 119 buah kenderaan dan 633 orang anggota akan bertugas. Manakala bagi Hari Raya kedua (16 haribulan) sejumlah 159 buah kenderaan dan 843 orang anggota akan bertugas.

Beliau turut memberitahu kutipan sampah SWM Environment memfokuskan kepada 32 lokasi pasar awam, 13 buah lokasi pasar tani mega, 55 buah lokasi bazar Ramadan, 13 buah lokasi bazar Raya dan 47 buah lokasi pasaraya yang menjadi tumpuan para pengunjung.

Selain itu, tumpuan kerja-kerja juga akan melibatkan sejumlah 11 buah lokasi yang menjadi tumpuan pelancong dan pengunjung di Negeri Sembilan.

Sebarang pertanyaan atau aduan, sila hubungi Talian Indahkan Malaysia: 1-800-88-7472.