SWM ENVIRONMENT LANCAR KITAR3cycle – KUMPUL BARANGAN KITAR SEMULA DAN TEBUS GANJARAN

(JOHOR BAHRU, 21 APRIL) Pihak SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) telah melancarkan program KITAR3cycle yang merupakan satu bentuk program kitar semula. Program yang menawarkan ganjaran secara mata terkumpul tersebut dilaksanakan sebagai galakan membudayakan amalan kitar semula di samping membentuk masyarakat rendah karbon.

Orang ramai yang mendaftar sebagai ahli boleh menebus barangan keperluan atau wang tunai daripada mata ganjaran terkumpul. Aplikasi KITAR3cycle perlu terlebih dahulu dimuat turun dan orang ramai perlu mendaftarkan akaun mereka secara atas talian. Setiap pendaftaran akan dibekalkan dengan kod bar daripada pihak SWM Environment yang perlu dilekatkan pada bungkusan barangan kitar semula terkumpul.

Sebanyak 35 barangan yang boleh dikitar semula disenaraikan antaranya seperti kertas, plastik dan barangan elektronik dengan penawaran nilai ganjaran berbeza. Ahli KITAR3cycle hanya perlu meletakkan bungkusan barangan terkumpul di hadapan rumah dan pihak SWM Environment akan mengutip berdasarkan jadual.