SWM ENVIRONMENT – KUTIPAN MUSIM PERAYAAN IKUT PAPAN TANDA JADUAL PERKHIDMATAN DI KAWASAN PERUMAHAN

(JOHOR BAHRU, 5 FEBRUARI) Bersempena dengan musim perayaan ini, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) meminta orang ramai untuk melupuskan sisa buangan mereka mengikut jadual perkhidmatan yang ditetapkan. Pengurus Wilayah Johor, SWM Environment, Mohd Zan Arris berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke pejabat media pada hari ini di sini bagi menyampaikan limau mandarin dan ucapan Tahun Baru Cina kepada warga kerja media.

Beliau memaklumkan bahawa kutipan akan berjalan seperti biasa dengan kutipan sisa domestik sebanyak dua kali seminggu dan sekali seminggu bagi sisa pukal. Malah, pihak SWM Environment juga telah mendirikan papan tanda jadual perkhidmatan di susur keluar masuk kawasan perumahan dan menampal pelekat berjadual pada setiap tong sampah beroda (TSB) yang dibekalkan. Beliau berharap agar orang ramai dapat merujuk kepada jadual perkhidmatan tersebut bagi melancarkan kerja-kerja pengutipan dilaksanakan.

Tambahnya lagi, orang ramai juga diminta untuk tidak memberi sebarang saguhati perayaan seperti angpau kepada pekerja SWM Environment. Selain itu, orang ramai diminta untuk memanfaatkan talian Indahkan Malaysia di 1-800-88-7472 atau Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082.