SWCorp N.Sembilan Sasar ‘Independent Area’ Di 60 Kawasan

SEREMBAN, 29 Jan (Bernama) — Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan menyasarkan untuk melaksanakan ‘Independent Area’ di 60 kawasan taman perumahan di negeri ini menjelang tahun 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Jalaluddin Alias berkata setakat ini Taman Arowana Indah di Seremban 2 dikenal pasti sebagai satu daripada lokasi pelaksanaan ‘Independent Area’ di negeri ini.

“Independent Area’ adalah sebuah kawasan yang mempunyai kualiti perkhidmatan terbaik, komuniti bertanggungjawab dan kawasan yang bersih dari segi persekitarannya. Antara ciri-cirinya ia dilabelkan sebagai kawasan putih iaitu tiada penunjuk prestasi utama (KPI) dan aduan selama enam bulan berturut-turut serta bersih dari segala aspek seperti sampah, rumput. longkang dan jalan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah SWCorp Negeri Sembilan Zainal Fitri Ahmad dan Pengurus Wilayah SWM Environment Sdn Bhd (SWM) Melaka dan Negeri Sembilan Dr Al\’Ashari Othman.

Katanya kerajaan menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak SWCorp untuk memastikan perkhidmatan yang diberikan oleh SWM adalah yang terbaik serta meningkatkan kepertanggungjawaban kepada alam sekitar.

Sementara itu, katanya kempen kitar semula yang dianjurkan oleh SWCorp semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negeri ini.