SUMBANGAN SWM ENVIRONMENT KEPADA YANG MEMERLUKAN

(PONTIAN, 5 MAC) SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) bukan sahaja berhasrat untuk meluaskan penglibatan malah akan juga meningkatkan sumbangannya kepada masyarakat melalui entiti tanggungjawab sosial korporatnya, SWM Kasih.Pengurus Wilayah Johor, En. Mohd Zan Arris memberitahu bahawa langkah tersebut diambil setelah mengambil maklum akan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang disediakan oleh pihak SWM Environment di seluruh negeri Johor.

Pontian menjadi destinasi pertama pada tahun ini melalui penganjuran program SWM Kasih Misi sampul Merah bersempena dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Seramai 25 orang warga emas menerima angpau dan beg saguhati SWM Kasih sempena program yang bertemakan Muafakat Johor tersebut telah turut mendapat kerjasama daripada Majlis Daerah Pontian (MDP), Yayasan Muafakat Pontian, Cotra Enterprise Sdn. Bhd. (MARIGOLD) dan Lee Biscuits Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, sebanyak 20 buah keluarga yang kurang berkemampuan dari sekitar daerah Pontian telah menerima Kit SWM Kasih berupa bantuan keperluan dapur yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Beliau menjelaskan bahawa selain meringankan beban penerima bantuan, program SWM Kasih Misi Sampul Merah tersebut juga meraikan kepelbagaian budaya dan kepercayaan serta menekankan tentang kepentingan perhatian kepada golongan tersebut khususnya warga emas.