Sisa pepejal meningkat 20 peratus musim perayaan

JOHOR BAHRU – Orang ramai dinasihatkan mengamalkan sikap berhemah dalam pengurusan sisa pepejal yang dijanakan terutama pada musim perayaan tidak lama lagi.Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Ping berkata, jumlah sisa pepejal yang dihasilkan dijangka bertambah antara 12 hingga 20 peratus setiap hari menjelang sambutan Aidilfitri.

Menurutnya, syarikat konsesi, SWM Enviroment (SWM) Sdn Bhd bersiap sedia untuk menghadapi pertambahan sisa pepejal yang mendadak dalam musim perayaan ini.

“Difahamkan kakitangan SWM yang bertugas secara bergilir juga bersiap sedia supaya jadual kerja tidak terjejas walaupun dalam musim perayaan.

“Pada masa yang sama, saya mahu membuat seruan kepada orang ramai supaya mengamalkan sikap berhemah dan berjimat cermat dalam janaan sisa pepejal masing-masing.

“Kalau boleh, kita mahu sampah atau sisa pepejal kurang daripada hari biasa. Selama ini, sisa pepejal yang dihasilkan dalam musim perayaan akan bertambah antara 12 hingga 20 peratus setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program edaran sumbangan Ramadan di pejabat operasi Iskandar Puteri di Taman Ungku Aminah di sini, semalam.

Pada program berkenaan, seramai 40 penerima dalam kalangan memerlukan menerima sumbangan berbentuk keperluan harian dan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban menjelang Aidilfitri kurang seminggu lagi.

Dalam pada itu, ditanya tentang portfolionya, Adun Skudai itu memberitahu, beliau masih mengkaji lebih lanjut, bagaimanapun sememangnya isu pengurusan sisa pepejal merupakan satu masalah yang serius dan perlu diberi keutamaan.

“Ini disebabkan kebanyakan tapak-tapak pelupusan sampah yang ada di Johor ini telah hampir dengan tarikh tamat tempoh atau banyak yang telah tamat tempoh, tetapi masih digunakan.

“Ada cadangan pembinaan tapak baru, tetapi mendapat tentangan hebat daripada penduduk. Saya faham, siap mahu tinggal dekat tapak pelupusan sampah. Oleh itu, perlu ada perubahan minda dalam kalangan masyarakat.

“Kalau boleh, banyak daripada barang yang kita buang digunakan semula. Maka, saya harap kempen kitar semula digiatkan. Saya juga menyasarkan tiada sampah dalam masa antara lima hingga 10 tahun akan datang di Johor,” katanya.