Sisa pepejal bertambah 20 peratus sepanjang Aidilfitri

JOHOR BAHRU: Penduduk negeri ini diminta lebih bijak menguruskan sisa pepejal, terutama sepanjang musim perayaan Aidilfitri, tidak lama lagi.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin, berkata ini berikutan jumlah sisa pepejal biasanya meningkat pada setiap kali musim perayaan.

Katanya, mengikut statistik disediakan pihak berkaitan, jumlah sisa pepejal biasanya bertambah antara 12 hingga 20 peratus setiap hari sepanjang perayaan termasuk Aidilfitri.

“SWM Enviroment Sdn Bhd memberi jaminan sudah bersedia menghadapi pertambahan sisa pepejal pada musim perayaan ini.

“Saya yakin dengan kemampuan mereka berdasarkan pengalaman dan difahamkan kakitangan SWM bertugas secara bergilir-gilir supaya jadual kerja tidak terjejas walaupun sepanjang perayaan.

“Saya harap orang ramai dapat beri kerjasama dan mengamalkan sikap berjimat cermat supaya kurang menghasilkan sisa pepejal,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan pada Program Edaran Sumbangan Ramadan di Pejabat Operasi Iskandar Puteri di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di sini, hari ini.

Pada program itu, seramai 40 warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan anak yatim menerima bantuan barangan keperluan menjelang Aidilfitri.

Hong Pin berkata, penduduk Johor perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha menangani masalah sisa pepejal.

Katanya, selain pertambahan penduduk, kebanyakan tapak pelupusan sampah di negeri ini hampir tamat tempoh operasi.

Malah, katanya, ada tapak pelupusan sampah yang sudah tamat tempoh masih digunakan berikutan tiada tapak baharu.

“Saya masih meneliti masalah ini dan mendapati, ada cadangan pembinaan tapak pelupusan sampah baru namun dibantah penduduk. Saya faham, siapa yang mahu tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah sedangkan mereka terlebih dahulu tinggal di kawasan itu.

“Berikutan itu, kerajaan negeri berharap penduduk memberikan kerjasama dengan mengurangkan sisa pepejal bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memperbanyakkan kempen kitar semula untuk memberi pendedahan kepada penduduk dengan sasaran sifar sampah dalam tempoh 10 tahun akan datang.