Perkhidmatan SWM Environment Sempena Aidilfitri Berjalan Seperti Biasa.

(Seremban, 31.05.19)Pekerja syarikat SWM Environment bersiap sedia ketika sambutan Aidilfitri. Sampah akan dikutip mengikut jadual seperti yang telah ditetapkan bagi memastikan kebersihan kawasan terjamin.Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Yang Berhormat Tuan Teo Kok Seong memaklumkan bahawa pihak SWM Environment akan memastikan kawasan pasar Ramadan, taman perumahan, pusat membeli-belah dan pasaraya berada dalam keadaan bersih.

Pasukan Khas Juga Turut Bersiap Sedia Bagi Mengambil Tindakan Segera Menangani Sebarang Aduan.

Beliau memberitahu bahawa pihak syarikat akan memastikan Unit Pasukan Khas (SWAT) bersiap sedia bagi menangani sebarang aduan yang diterima dan menyelesaikannya dengan segera terutamanya pada hari raya pertama Aidilfitri.

Beliau turut menyatakan semasa sambutan Aidilfitri, pihak syarikat telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang memerlukan tumpuan kerja-kerja operasi termasuklah 37 lokasi jualan mantai, 32 lokasi pasar awam, 14 lokasi pasar tani dan pasar mega, 54 lokasi pasar Ramadan, 48 lokasi pusat membeli-belah dan pasaraya, 38 lokasi rumah pangsa/ apartment, 13 lokasi kem tentera dan sebagainya.

Selain itu, tumpuan kerja-kerja ini juga akan melibatkan sejumlah 11 buah lokasi yang menjadi tumpuan pelancong dan pengunjung di Negeri Sembilan bagi memastikan tahap kebersihan berada dalam keadaan baik.

Teo Kok Seonga menyatakannya ketika sidang media pada petang ini.

Tenaga Kerja dan Kenderaan Mencukupi

Beliau turut memberitahu pihak syarikat menyediakan 68 buah lori kompaktor dan 52 buah lori terbuka/ Roll On Roll Off (RORO) pada Hari Raya pertama, manakala pada Hari Raya kedua sebanyak 99 buah lori kompaktor dan 63 buah lori terbuka/ Roll On Roll Off (RORO) disediakan.

Bagi memastikan jumlah tenaga kerja yang mencukupi, pihak syarikat telah mengaturkan 760 pekerja untuk bertugas pada Hari Raya pertama dan jumlah tenaga kerja meningkat kepada 915 pada hari berikutnya.

Turut hadir sama Encik Nordin Bin Amat, Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Dr Al’Ashari Bin Haji Othman, Pengurus Wilayah Melaka & Negeri Sembilan, Encik Tee Wei Ming, Pengurus Operasi Wilayah Negeri Sembilan dan Encik Abdul Majid Bin Mami, Pengurus Perkhidmatan Kawasan.

Pemantauan Kebersihan Pasar Ramadan

Teo Kok Seong menyatakan bahawa SWCorp Negeri Sembilan, SWM dan Majlis Perbandaran Seremban akan bekerjasama memantau tahap kebersihan pasar Ramadan setiap malam bagi memastikan kebersihan terjaga.

Beliau memberitahu bahawa pemantauan yang dilaksanakan adalah bagi mengelakkan sampah bertaburan serta memastikan peniaga tidak culas menguruskan sisa perniagaan mereka.