Penjagaan kebersihan alam sekitar tanggungjawab bersama – Exco

SEREMBAN, 20 Sept (Bernama) — Tugas menjaga kebersihan alam sekitar bukan tanggungjawab mutlak syarikat konsesi semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak untuk kesejahteraan bersama, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri Teo Kok Seong.

Beliau berkata ia memerlukan budaya permuafakatan tiga penjuru di antara pihak kerajaan yang menyediakan kemudahan, syarikat konsesi yang bertanggungjawab mengutip sisa pepejal dan pembersihan awam serta orang awam yang harus mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.

“Muafakat daripada semua pihak amat penting. Jika tidak, maka gagallah hasrat kerajaan bagi membudayakan masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar yang akan memberikan kesan kepada generasi akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran ‘Kitarecycle’ di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Ho De Leong.

Beliau berkata keberhasilan muafakat yang jitu akan dapat memberikan kesan positif yang dapat dinikmati oleh semua pihak untuk menjalankan tanggungjawab dalam menjaga alam sekitar.