Penganjur diingat kemas bazar pada hari terakhir Ramadan

Summary: Coverage on the press conference by SWM Environment on Strategi Operasi Hari Raya Aidilfitri

JOHOR BAHRU Penganjur bazar Ramadan di negeri ini diingatkan supaya menjaga kebersihan dan mengemas bazar dengan segera pada hari terakhir Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Md Jais Sarday berkata mana mana penganjur akan disenarai hitam dan tidak dibenarkan menganjur bazar pada Ramadan tahun depan sekiranya gagal mengemas bazar masingmasing.

“Penganjur bazar terutamanya melibatkan penjualan makanan diingatkan supaya membuang sampah dan mengemas perkakas sejurus sahaja selesai perniagaan pada malam raya.

“Bagi khemah besar, kita beri pengecualian atau kelonggaran iaitu boleh mengemas dan menyimpan perkakas dalam tempoh tiga hari,” katanya.

Md Jais berkata demikian pada sidang media Strategi Operasi Hari Raya Aidilfitri SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) dan majlis berbuka puasa SWM Environment Media Johor 2017, di sini malam tadi.

Hadir sama Pengarah Eksekutif SWM Environment Dr Uzir Abd Malik dan Pengurus SWM Environment Wilayah Johor Mohd Zan Arris. Md Jais berkata terdapat 215 bazar Ramadan dibuka di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, tahun ini.

Beliau berkata bazar yang dikemas dengan segera dapat memudahkan pergerakan orang ramai memandangkan kebanyakan bazar didirikan di kawasan awam terutamanya di jalan raya dan kawasan letak kenderaan.

Sementara itu, mengenai Strategi Operasi Hari Raya Aidilfitri SWM Environment, Mohd Zan berkata pungutan sampah dilakukan menerusi Fasa I iaitu sebelum Aidilfitri yang bermula 17 Jun lepas hingga 24 Jun ini manakala Fasa II iaitu semasa Aidilfitri pada 25 dan 26 Jun. Bernama