Pemeriksaan halaman rumah 10 minit setiap minggu, Operasi Search And Destroy berkesan

Summary: SWM Environment participated in Search and Destroy Operation 3.0 organized by Majlis Bandaraya Johor Bahru

(Johor Bahru, 13 Mei 2017) Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Tuan Haji Abd Rahim Haji Nin berkata, Operasi Search And Destroy (SND) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2016 telah menampakkan hasil. Beliau menyeru penduduk di kawasan Johor Bahru untuk memanfaatkan masa 10 minit setiap minggu untuk membuat pemeriksaan bagi menghapuskan sarang nyamuk Aedes di kawasan halaman rumah.

Tuan Haji Abd Rahim yang merasmikan Operasi Search And Destroy 3.0 bertempat di Ibu Pejabat MBJB pada pagi ini, di sini, turut mengumumkan kewujudan sebanyak 23 lokasi tumpu dalam kawasan pentadbiran MBJB mengadakan aktiviti gotong-royong secara serentak yang diketuai oleh Ahli Majlis di setiap zon kawasan.

Turut hadir adalah Pegawai Jabatan Kesihatan Johor Bahru, Dr Bahderu, Ketua Unit Penguatkuasa SWCorp, En. Amizan Muhamad, Penolong Pengurus Servis Kawasan SWM Environment, En. Mohd Nur Izham Ahmad dan Pegawai Kesihatan MBJB, Pn. Azlin.

3 KES KEMATIAN AKIBAT DENGGI DALAM 18 MINGGU DI JOHOR BAHRU

Dalam kenyatannya, Datuk Bandar juga menasihatkan penduduk kawasan Johor Bahru agar menjaga kebersihan kawasan rumah bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes dan seterusnya menjadi punca berlakunya jangkitan demam denggi. Katanya lagi, tiga kes kematian akibat demam denggi telah dicatatkan dalam tempoh 18 minggu pada tahun ini. Pada tahun 2016, sebanyak 10 kes kematian akibat demam denggi telah dicatatkan berlaku di kawasan Johor Bahru.

Jelas beliau lagi, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) telah memperuntukkan denda sebanyak RM500 hingg RM1,000 atau didakwa di mahkamah terhadap pemilik premis kediaman, perindustrian atau pembinaan yang didapati mempunyai tempat pembiakan nyamuk Aedes. Terdapat tiga kes yang telah dihadapkan ke mahkamah pada tahun ini.

Beliau menyeru orang ramai meluangkan masa selama 10 minit setiap minggu untuk membuat pemeriksaan di halaman rumah mereka bagi membasmi jangkitan demam denggi.