Pastikan Pantai PD Bersih

PORT DICKSON – Bagi memastikan tahap kebersihan pantai sentiasa bersih, Syarikat Konsesi SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) mengoptimumkan kerja-kerja pembersihan pantai bermula jam 6 pagi berbanding sebelumnya jam 8 pagi.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, Pantai Teluk Kemang dan Pantai Saujana merupakan antara lokasi utama pembersihan bagi memastikan kawasan peranginan ini sentiasa bersih.

Katanya, bagi keselesaan pengunjung, kerja-kerja pembersihan sampah-sarap serta sisa-sisa perkhemahan yang ditinggalkan pengunjung bermula jam 6 pagi dan akan diselesaikan sebelum jam 8 pagi.

“Bagi memastikan kerja pembersihan pantai dilaksanakan dengan sempurna, kita menggunakan jentera khas dipanggil “beach comber” untuk mengeluarkan sampah-sarap dalam pasir, selain penggunaan jentera lain.

“Selain itu, petugas kita juga akan melakukan pembersihan yang melibatkan kawasan penjaja, bagi memastikan persekitaran pantai ini bersih.

“Kita menasihatkan kepada semua pengunjung termasuk peniaga di kawasan ini untuk sama-sama menjaga kebersihan dan kekemasan kawasan mereka,”katanya.

Beliau ditemui semasa program Sayangi Pantai, PDKu Bersih di Teluk Kemang dekat sini tadi.

Hadir sama Pengarah SWCorp Negeri, Zainal Fitri Ahmad.

Turut membantu menjalankan pembersihan pantai semalam adalah mahasiswa Politeknik Port Dickson dan ahli Persatuan Pencinta Pantai.

Sebanyak 281 petugas ditempatkan untuk membersihkan 19 pantai di Port Dickson, membabitkan lebih 39 jentera pembersihan.