MOHD ZAN – PEKERJA PEMBERSIHAN JADI EJEN PELANCONGAN

(MUAR, 5 FEBRUARI) Pengurus Wilayah Johor, SWM Environment, Mohd Zan Arris berkata selain memastikan kebersihan di kawasan bandar, pekerja pembersihan juga berperanan sebagai ejen pelancongan Bandar Diraja. SWM Environment akan bekerjasama dengan Persatuan Pelancongan Muar untuk menghebahkan maklumat tentang tarikan pelancong dan tempat makanan yang terkenal di daerah ini.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Penghargaan Warga Kerja SWM Environment anjuran Persatuan Pelancongan Muar pada hari ini turut mengucapkan tahniah atas kejayaan yang diraih oleh daerah Muar sebagai Bandar Terbersih Malaysia dan Bandar Pelancongan Terbersih ASEAN. Majlis penghargaan tersebut diadakan bagi menghargai seramai 420 orang pekerja SWM Environment yang turut menyumbang dalam kejayaan tersebut.

Tambah beliau, warga kerja SWM Environment akan berusaha untuk mengekalkan pencapaian tersebut dan memastikan Bandar Diraja sentiasa berada dalam keadaan bersih. Sebagai pekerja pembersihan dan warga daerah Muar, mereka juga perlu memainkan peranan sebagai ejen pelancongan untuk memperkenal lokasi pelancongan dan makanan menarik kepada pelancong dari luar.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Muar, Sallehuddin Satar pula menjelaskan bahawa pencapaian yang diraih Bandar muar adalah hasil kerjasama semua pihak mendapat pujian daripada kerajaan Persekutuan dan negara luar.

Beliau juga memuji sumbangan yang diberikan oleh warga kerja SWM Environment dan berharap agar kerjasama antara semua agensi awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berterusan dalam memastikan daerah Muar sentiasa bersih. Malah, makluman tentang penjagaan kebersihan ini juga perlu dikembangkan dalam pelbagai bentuk seperti melalui taklimat, pertandingan esei dan melukis bagi meningkatkan kesedaran awam tentang penjagaan kebersihan di daerah Muar.