Minta longkang dinaiktaraf untuk selesaikan masalah banjir di Taman Sri Treh Muar

(Muar, 16 Mei 2017) Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Muar (MPM), En. Lim Kim Heng memaklumkan bahawa masalah banjir kilat semasa musim hujan yang dihadapi oleh penduduk Taman Sri Treh hanya dapat diselesaikan dengan menaiktaraf longkang sedia ada.

Katanya, masalah yang berpunca daripada struktur longkang yang tidak mampu untuk menampung pengairan sedia ada dan pelepasan air tapisan dari loji kumbahan IndahWater. Dua punca tersebut telah menjadikan longkang tersebut dipenuhi air sepanjang masa dan akan melimpah ke atas jalan apabila musim hujan.

En. Lee Kim Heng memberitahu hasil perbincangan yang diadakan bersama JKKK Sabak Awor, beliau telah mencadangkan agar longkang tersebut perlu dinaiktaraf dengan kos perbelanjaan sebanyak RM200 ribu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan bersama JKKK Sabak Awor pada hari ini di sini. Tinjauan tersebut juga telah melibatkan pihak SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) yang tampil membantu membersihkan longkang di kawasan perumahan tersebut.

Merujuk kepada masalah banjir kilat yang berlaku pada cuti umum lalu, beliau menjelaskan bahawa hujan lebat dan air pasang besar menjadi punca berlakunya banjir kilat tersebut.

Dalam pada itu, Eksekutif Perhubungan Awam, SWM Environment, En. Choo Chiau Seng berkata, pihaknya perlu sentiasa membuat pembersihan di longkang tersebut memandangkan air tapisan dari loji kumbahan IndahWater telah menyebabkan longkang tersebut berlumpur dan menyekat sistem pengairannya.

Turut hadir dalam tinjauan tersebut adalah Penolong Pengarah SWCorp Muar dan Tangkak, En. Nizam dan Ketua Masyarakat Sabak Awor, En. Fu Shi Jie.