KITAR SEMULA PANJANGKAN JANGKA HAYAT TAPAK PELUPUSAN, SISA MAKANAN DIKOMPOS MENJADI BAJA, TERIMA GANJARAN DARIPADA AKTIVITI KITAR SEMULA

(JOHOR BAHRU, 11 MEI) SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) bersama Tanah Sutera Development Sdn. Bhd. (Tanah Sutera) telah bekerjasama melancarkan inisiatif KITAR3cycle dan Kompos Sisa Makanan yang bertujuan untuk mengurangkan penghasilan sampah dan memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada. Pihak SWM Environment komited untuk memperluas inisiatif tersebut ke seluruh negeri Johor sekiranya inisiatif perintis berkenaan mendapat sambutan positif.

SWM ENVIRONMENT: WUJUDKAN KOMUNITI LESTARI

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat, SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, inisiatif pengkomposan sisa makanan tersebut adalah selari dengan dasar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mewujudkan komuniti lestari menerusi inisiatif ke arah sifar sisa. Pihak SWM Environment melancarkan inisiatif kitar semula dikenali sebagai KITAR3cycle dan bakal melaksanakan kutipan sisa makanan yang dijangka bermula pertengahan bulan Jun nanti.

1,000 PREMIS KEDIAMAN DI TAMAN SUTERA DIBEKALKAN TONG SISA MAKANAN

Menurutnya lagi, kerjasama pertama seumpamanya bagi SWM Environment dan Tanah Sutera tersebut melibatkan sebanyak 1,000 premis kediaman yang bakal menerima tong sisa makanan berkapasiti lima liter. Penglibatan SWM Environment adalah menerusi penyediaan perkhidmatan kutipan sisa makanan setiap hari dan dihantar ke FOLO Farm bagi tujuan pengkomposan menjadi baja. Tambahnya lagi, sebanyak 1.5 metrik tan sisa makanan akan dikumpulkan setiap bulan.

Dalam pada itu, inisiatif KITAR3cycle pula bakal menyaksikan pemberian kod bar kepada penduduk yang terlibat dan perlu dilekatkan pada bungkusan barangan kitar semula terkumpul sebelum dikutip pada setiap hari Selasa bagi Taman Sutera. Inisiatif KITAR3cycle yang diperkenal di Taman Sutera tersebut merupakan pertama seumpamanya di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan diharap juga dapat membantu mengurangkan kos sara hidup melalui tawaran berbentuk ganjaran.

Jelasnya lagi, inisiatif pengkomposan sisa makanan akan dilaksanakan secara perintis selama tempoh 3 bulan. Tempoh tersebut akan dimanfaatkan untuk tujuan penambahbaikan dan pihak SWM Environment berharap agar memperluas inisiatif tersebut ke kejiranan yang lain.

TAN CHEN CHOON: HARAP PENGURANGAN 22% SAMPAH

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri Johor, Tan Chen Choon yang melancarkan Majlis Pra-Pelancaran Program KITAR3cycle dan Kompos Sisa Makanan tersebut berkata bahawa sebanyak 15 tapak pelupusan sampah di negeri Johor kini kritikal dan jangka hayatnya hampir tamat menjelang tahun hadapan. Oleh yang demikian, pihak Kerajaan Negeri perlu bekerjasama dengan semua pihak untuk mengurangkan penghasilan sampah.

Kerajaan Negeri Johor berharap dapat mengurangkan penghasilan sampah pada tahap 22% pada tahun 22%. Beliau turut berharap agar seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat melaksanakan inisiatif pengkomposan sisa makanan sekiranya inisiatif yang diperkenal tersebut berjaya.

TAN HONG PIN: PERLU KERJASAMA DARIPADA SEMUA PIHAK

Bagi ADUN Skudai, Tan Hong Pin pula, kaedah Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca perlu dipergiat oleh semua pihak di seluruh kawasan perumahan walaupun belum dilaksanakan inisiatif KITAR3cycle. Kaedah berkenaan mampu mengawal pencemaran alam sekitar berbanding pembinaan tapak pelupusan baharu atau berkonsepkan Waste To Energy (WTE).

Beliau turut berkongsi tentang kejayaan China yang berjaya melaksanakan kaedah berkenaan dan mencapai 95% sampah diasingkan. Justeru itu, beliau mengharapkan semua pihak dapat memberi kerjasama agar kaedah tersebut berjaya dilaksanakan dengan berkesan.

TAN KOH HENG: 1.7 METRIK TAN SISA MAKANAN DIKUTIP SEHARI

Penolong Pengurus Besar Pemasaran Tanah Sutera, Tan Koh Heng memaklumkan bahawa inisiatif pengkomposan sisa makanan telah dilaksanakan oleh Tanah Sutera sejak tahun 2014. Sejak pelaksanaan tersebut, sebanyak 1.7 metrik tan sisa makanan dikutip dan sejumlah 50 metrik tan sisa makanan dikumpulkan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8 metrik tan baja kompos berjaya dihasilkan.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut adalah Pengarah Eksekutif, SWM Environment, Dr. Uzir Abdul Malik, wakil rasmi Pengarah SWCorp Negeri Johor, Muhammad Rozai Rafiq Mohd Rohani, Ahli MBIP, Choong Thong Yuen dan Ng Siam Luan serta Pengurus Besar Tanah Sutera, Ng Boon Liong.