Kesedaran asingkan sisa, kitar semula masih rendah – Menteri

Amalan membudayakan pengasingan sisa dan kitar semula dalam kalangan rakyat masih rendah
menyebabkan lebih banyak sisa buangan pepejal dihasilkan setiap hari di negara ini, kata Menteri
Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata kefahaman dan kesedaran mengenai perkara itu amat penting untuk diterapkan dan
dibudayakan dalam kehidupan seharian bagi mengurangkan jumlah sisa dibuang ke tapak pelupusan
sampah sekali gus memelihara alam sekitar.

Anggota Parlimen Bakri itu berkata antara langkah utama yang perlu diberi perhatian ialah pemahaman
rakyat mengenai pengasingan sisa pepejal yang boleh dikitar semula dengan sisa baki seperti sisa
makanan yang tidak boleh dikitar semula.

“Ia amat penting untuk melakukan kitar semula, dua sisa ini tidak boleh dicampur dan menyebabkan
bahan yang boleh dikitar semula kotor dan dicemari. Oleh itu pengetahuan mengenainya perlu
dipertingkatkan selain menggalakkan masyarakat dapat melakukannya demi kelestarian alam.

Elak bazir sisa makanan

“Di Parlimen Bakri sendiri juga, kita telah melaksanakan kitar semula sisa makanan untuk menjadikan
baja kompos dan kita berharap masyarakat dapat melakukan perkara sama bagi mengelakkan banyak
(sisa) makanan dibazirkan setiap hari,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program
SWM Kasih Misi Sampul Merah dan pelancaran Program KITAR3cycle peringkat Parlimen Bakri, di Muar
hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif SWM Environment Sdn Bhd, Dr Uzir Abdul Malik dan Pengarah Wilayah
Johor SWM Environment Sdn Bhd, Mohd Zan Arris.

Sementara itu, Mohd Zan berkata, program KITAR3cycle akan diperluaskan secara berperingkat di Johor
bagi menggalakkan budaya pengasingan sisa pepejal di punca dan amalan kitar semula dalam kalangan
masyarakat.

Beliau berkata setakat ini program itu telah dilancarkan di Tangkak pada minggu lepas dan terbaharu di
Bakri dengan cara penggunaan pelekat kod bar pada plastik sampah seterusnya diletakkan dalam
sangkar kitar semula yang disediakan.

“Menerusi program ini penduduk akan menerima pelekat kod bar dan ia perlu ditampal pada plastik
yang telah diisi dengan sisa kitar semula, seterusnya jumlah berat barangan kitar semula yang dikumpul
akan direkodkan secara terus ke dalam aplikasi ‘KITAR3cycle’.

“Pengguna akan mendapat pengumpulan mata ganjaran dan boleh ditebus untuk mendapatkan baucar
beli-belah di pasar raya yang terpilih,” katanya.