KERJA BAIKPULIH BENTENG SELESAI, TAPAK PELUPUSAN CEP RENGGAM BEROPERASI HARI INI

(KLUANG, 21 FEBRUARI) Pengerusi Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), Datuk Liang Teck Meng memaklumkan bahawa tempoh penutupan Tapak Pelupusan CEP Renggam telah tamat dan dijangka beroperasi semula bermula esok. Tambah beliau, penelitian terhadap operasi tapak pelupusan tersebut akan dilakukan.Jelas beliau, kerja membaikpulih dan menaiktaraf benteng tersebut telah selesai dan beliau masih belum menerima laporan lengkap selain masih menunggu mesyuarat bersama pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membincangkan masalah pengangkutan sampah.

Liang yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata demikian selepas menghadiri Program SWM Kasih Misi Sampul Merah anjuran SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) di Persatuan Guan Zi Zai, Simpang Renggam, hari ini, di sini.

Penutupan Tapak Pelupusan CEP Renggam berikutan air lelehan resapan telah mencemarkan punca air sehingga menjejaskan bekalan air di kawasan Simpang Renggam. Langkah tersebut diambil bagi memberi laluan kerja-kerja membaikpulih dan menaiktaraf dilaksanakan.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif, SWM Environment, Dr. Uzir Abd Malik memberitahu bahawa program SWM Kasih Misi Sampul Merah pada kali ini menyalurkan sumbangan angpau dan beg saguhati perayaan kepada 28 orang kanak-kanak istimewa dari persatuan kebajikan tersebut dan tiga orang warga emas dari Rumah Orang Tua Layang-Layang.

Sumbangan turut disalurkan kepada 10 buah keluarga kurang berkemampuan berbentuk Kit SWM Kasih yang terdiri daripada barangan keperluan dapur serta sumbangan SWM Kasih berjumlah RM1,000.00 kepada Persatuan Kebajikan Guan Zi Zai.

Turut hadir dalam program tersebut Pengerusi Persatuan En. Tai Mee Lok, Pengurus Wilayah Johor, SWM Environment, En. Mohd Zan Arris, Pengurus Servis Kawasan, SWM Environment, Dr. Peter Looi Yat Seong dan Penolong Penguatkuasa, SWCorp Cawangan Kluang, En. Mohd Akmal.