Kawasan Lapang Jadi Tumpuan Pihak Yang Tidak Bertanggungjawab Longgokan Sampah

Summary: SWM Muar Assisted In Cleaning The Illegal Dumping At Taman Sakeh Baru, Muar.

(Berita Muar, 20/01/2017) Kawasan perumahan telah menjadi tumpuan mereka yang tidak bertanggungjawab melonggokan sampah secara haram. Permasalahan ini telah dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Bakri, YB Er Teck Hwa yang telah menerima aduan daripada orang awam berhubung longgokan sampah haram di kawasan lapang berhampiran dengan Taman Sakeh Baru menjadi punca kepada masalah kebersihan setempat.

YB Er yang telah mengadakan tinjauan bersama pembantunya, En. Er Teck Keng dan En. Chua Kim Hwa turut mendapatkan bantuan daripada pihak SWM Environment bagi kerja-kerja pembersihan.

Penghuni dari Taman Sakeh Baru, Pn. Hainah (61 tahun) memaklumkan bahawa terdapat pihak yang telah mengambil jalan mudah dengan membuang sampah di kawasan lapang berkenaan. Aduan telah berulang kali dimajukan oleh penduduk kepada pengetahuan pihak PBT yang diikuti dengan tindakan pembersihan. Namun, masalah tersebut tetap berulang sehingga kini masih gagal ditanggi dengan sempurna.

YB Er Tech hwa meminta pihak PBT untuk mengambil peduli akan masalah yang berkenaan memandangkan daerah Muar telah diisytiharkan sebagai bandar terbersih dan sepatutnya masalah sebegini tidak akan berlaku . Beliau juga telah meminta pihak PBT untuk mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menghalang pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga meminta orang ramai untuk menghubungi pihak SWM Environment melalui talian 06-981 1853 atau Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Bakri dan ADUN Bentayan di talian 012-323 3703 sekiranya terdapat masalah sampah pukal dan kebersihan.