Kawasan lapang jadi tapak pembuangan sampah haram – Dibersihkan berulang kali, pembakaran terbuka cemar udara

Summary: SWM Environment assisted MBJB Local Councillor in cleaning the illegal dumping at Taman Perindustrian Kota Puteri, Masai.

(Johor Bahru, 5 April 2017) Kebersihan di Jalan Cenderai 17, Taman Perindustrian Kota Puteri terjejas akibat tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang menjadikannya sebagai lokasi pembuangan sampah haram serta dibakar secara terbuka sehingga mendatangkan pencemaran udara di kawasan sekitar.

Pengkilang di kawasan tersebut memaklumkan bahawa masalah pembakaran terbuka di kawasan tersebut semakin teruk

Masalah pembuangan sampah secara haram telah lama berlaku di kawasan berkenaan dan meskipun pihak SWM Environment sentiasa melaksanakan kerja pembersihan tetapi masalah tersebut tetap berulang. Perabot lama dan sisa industri antara sampah yang dikesan dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Masyarakat setempat berharap agar pihak berkenaan dapat mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelaku tersebut agar permasalahan ini dapat diselesaikan demi menjaga kebersihan setempat.

Pihak kami difahamkan bahawa pembersihan dan pengutipan sisa buangan yang dilaksanakan oleh pihak SWM Environment di kawasan tersebut melebihi 10 tan metrik .

EGOH HOW YONG: PEMBAKARAN MENDATANGKAN KETIDAKSELESAAN

Seorang pengkilang di taman perindustrian tersebut, Goh How Yong (36 tahun) berkata, pembakaran yang dilakukan di lokasi tersebut didapati bertambah teruk pada awal tahun ini sehingga melibatkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk mengawal pembakaran.

Pembakaran yang dilakukan sejak kebelakangan ini pula mengambil masa seminggu untuk dipadamkan sepenuhnya dan situasi ini dibimbangi menjejaskan kesihatan masyarakat setempat.

“Kenderaan yang diletakkan di tepi jalan juga dipenuhi dengan asap pembakaran,” jelas beliau. Kadangkala, pembakaran tayar dan sisa buang yang lain tersebut juga turut mendatangkan bau yang tidak menyelesakan masyarakat setempat.

SAIFUL: HARAP AMBIL TINDAKAN SEWAJARNYA

Seorang pekerja di taman perindustrian tersebut, Saiful mendapati bahawa pelaku tersebut membuang sampah secara haram dan membakarnya secara terbuka pada lewat malam minggu lalu. Asap pembakaran tersebut amat menjejaskan kesihatan masyarakat setempat.

Katanya lagi, masalah sampah longgok haram tersebut tetap berulang selepas seminggu dibersihkan. Beliau berharap agar pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.

HAN CHENG SIANG: PEMBAKARAN TERBUKA ANCAM KESELAMATAN KILANG

Pengkilang sofa, Han Cheng Siang bimbang jika pembakaran tersebut merebak dan merbahayakan kilang-kilang di kawasan tersebut.

Tambah beliau, pembakaran terbuka tersebut telah mencemarkan udara sehingga menjejaskan kesihatan mereka.

Beliau mendapati terdapat lokasi sampah haram tersebut menjadi tumpuan orang ramai untuk membuang sampah yang dijana mereka tidak kira pada siang atau malam hari.

PN. CHAN SAN SAN:  TANAMAN LANSKAP UNTUK HALANG PEMBUANGAN SAMPAH

Ahli Majlis Zon Taman Rinting / Sri Plentong, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Pn. Chan San San berkata, pihak lanskap MBJB akan menanam tanaman lanskap sebagai langkah menghalang pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut daripada membuang sampah di lokasi tersebut.

Sebenarnya masalah sampah longgok di lokasi tersebut telah berlarutan untuk sekian lama.

“Saya telah meminta pihak SWM Environment untuk membersih dan meratakan semula kawasan tersebut pada minggu lepas dan didapati masalah tersebut telah berulang dengan cepat.”

Beliau meminta pihak yang berkenaan untuk memperketat penguatkuasaan terhadap pelaku tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga meminta orang ramai untuk menjadi mata dan telinga sekiranya mendapati terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di lokasi tersebut. Orang ramai boleh kongsikan gambar perlakuan mereka melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-721 7216.