Kampung Sri Parit Telah Dibersihkan

(Port Dickson, 29.12.17)  Kampung Sri Parit, Lukut mengalami masalah sampah yang serius. Punca utama adalah disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah individu membuang sampah berskala besar seperti pokok, perabot, tayar dan sebagainya hingga menjadi timbunan yang besar menyukarkan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan. Penduduk juga tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut.

Masalah itu sentiasa menjadi perhatian Encik Yang dan sentiasa meminta bantuan daripada SWM dan Majlis Perbandaran. Telah berulang kali kerja pembersihan dilakukan di kawasan itu. Namun, selepas kerja pembersihan selesai dilaksanakan serta meletakkan pita perentang tetap ada individu yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan itu.

Beliau memberitahu SWM telah menyediakan tong sampah di kawasan itu khas untuk penduduk kampung melupuskan sampah dapur setiap hari manakala bagi pihak pengusaha industri perlu mengatur tong sampah lain di kawasan perusahaan mereka.

Beliau percaya walaupun SWM dan Majlis Perbandaran telah melaksanakan kerja pembersihan, adalah penting bagi orang ramai memupuk budaya pengasingan sampah, supaya masalah sampah dapat diuruskan dengan baik serta membantu meningkatkan taraf kehidupan  di dalam persekitaran yang bersih serta bebas  daripada risiko pembiakan nyamuk aedes.