‘Kami Sayang Melaka’ pupuk kesedaran kebersihan Stadium Hang Jebat

MELAKA, 16 Ogos (Bernama) — Kempen ‘Kami Sayang Melaka’ bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan dan kitar semula dalam kalangan penyokong bola sepak akan dimulakan di Stadium Hang Jebat bermula esok.Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Melaka Nick Yong Yoon Pin berkata secara purata 1.5 tan sampah dikutip setiap kali perlawanan berlangsung di Stadium Hang Jebat dan angka berkenaan tidak pernah berkurang.

“Ketua Menteri Melaka Adly Zahari akan melancarkan kempen itu sempena perlawanan Piala Malaysia 2018 antara Melaka United menentang Polis Diraja Malaysia diadakan di Stadium Hang Jebat, esok.

Kita khuatir sekiranya tiada usaha dilaksanakan jumlah berkenaan akan terus meningkat pada masa hadapan. Selain memupuk sikap positif dalam kalangan penyokong bola sepak, ia juga dapat melonjakkan imej bola sepak negeri khususnya nama Perbadanan Stadium Melaka,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar kempen berkenaan di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) S.Chandru, Pengarah SWCorp Melaka Mohd. Azwan Mohd Nor Rezan dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Ashiq Samad.

Mengulas lanjut, Yong berkata kempen berkenaan merupakan anjuran bersama MUSA, PTHM dan SWCorp itu selari dengan slogan kerajaan negeri dalam aspek kebersihan iaitu pintar, hijau dan bersih.

Beliau berkata pada pelancaran kempen berkenaan esok, sebanyak 1,500 beg plastik jenis biodegrasi akan diedarkan kepada penyokong kira-kira lima minit sebelum perlawanan bermula dan dianggarkan 2,000 hingga 5,000 penyokong akan hadir ke Stadium Hang Jebat.

Katanya lebih 100 petugas akan berada di sekitar stadium berkenaan bagi memberi kesedaran secara lisan dan mengedarkan risalah kempen dan plastik sampah kepada penyokong yang hadir.