Jimmy: Rancangan Tempatan Batu Pahat cadang bangun kawasan perindustrian moden

(BATU PAHAT, 19 DISEMBER) Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Negeri Johor, Jimmy Puah Wee Tse menggalakkan agar daerah Batu Pahat dibangunkan menjadi kawasan perindustrian moden berteraskan pembuatan tekstil seiring dengan pembangunan di Johor Selatan dan Muar.
Jimmy berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program SWM Kasih Christmas Celebration & Back To School pada petang ini, di sini. Jelas beliau, taman perindustrian yang dibangunkan kelak akan menghimpunkan pelbagai jenis perniagaan dilengkapi dengan kemudahan asas untuk menarik minat pelabur.
”Kami akan adakan satu pertemuan mesra sambil berdialog bersama pengusaha bidang tekstil di Batu Pahat pada hari ini. Kerajaan mengambil perhatian dan cuba memahami masalah yang dihadapi oleh pengusaha tekstil dan akan memudahcara dalam urusan eksport.”

Menurutnya lagi, sebanyak 98 ribu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dicatatkan di negeri Johor dan berada di kedudukan ketiga di Malaysia. Susulan daripada itu, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM210 juta bagi meransang pengusaha IKS untuk menghadapi industri revolusi 4.0.

Kerajaan Negeri Johor telah menetapkan sasaran sebanyak RM8 bilion pelaburan dari luar negara dalam Belanjawan 2019 berbanding tahun lalu yang mencapai RM5 bilion dan merupakan satu cabaran besar untuk dicapai.

Dalam pada itu, beliau amat mengalu-alukan pihak swasta untuk menyumbang kepada masyarakat misalnya seperti program back To School dan sempena perayaan bagi meringankan golongan yang memerlukan.

Pengarah Eksekutif, SWM Environment Sdn. Bhd., Dr. Uzir Abdul Malik sementara itu memaklumkan bahawa seramai 20 keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan keperluan harian manakala seramai 28 orang kanak-kanak pula menerima sumbangan beg sekolah dan peralatan sekolah.