Jadual perkhidmatan SWM Environment dianjak untuk kakitangan mengundi

SEREMBAN – Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan membuat sedikit perubahan jadual operasinya sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini.Pengurus Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, AlAshari Othman berkata, perubahan jadual tersebut diputuskan bagi memudahkan warga kerjanya menunaikan hak dan tanggungjawab mengundi di kawasan masing-masing.

Tambah beliau, jadual perkhidmatan SWM Environment akan dianjakkan sehari awal bermula 6 Mei sebelum kembali beroperasi mengikut jadual seperti biasa pada 10 Mei.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, tiada perubahan jadual bagi kawasan yang mendapat perkhidmatan kutipan sisa pepejal setiap hari.

“Pekerja akan melakukan kerja pada awal pagi bagi membolehkan mereka ke lokaliti pengundian masing-masing bagi membuang undi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas AlAshari, perubahan jadual itu diputuskan setelah mempertimbang kekuatan dan kemampuan tenaga kerjanya selain diselaraskan dengan pengisytiharan Hari Kelepasan Am Tambahan di seluruh negara oleh kerajaan berikutan ketetapan tarikh yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Sehubungan itu, SWM Environment memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menguruskan sisa buangan mengikut kaedah betul bagi membendung berlaku masalah limpahan sampah sepanjang tempoh perubahan jadual ini,” katanya.

Tambahnya, untuk makumat lanjut, otang ramai boleh hubungi Talian Indahkan Malaysia di 1-800-88-7472. – K! ONLINE