Jadual perkhidmatan SWM dianjak sehari awal untuk PRU-14

Seremban: Syarikat konsesi, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) akan menganjakkan jadual perkhidmatan sehari lebih awal bermula 6 Mei sebelum beroperasi seperti biasa pada 10 Mei ini.Langkah itu diambil dalam memudahkan petugas mereka pulang mengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengurus Wilayah SWM Environment Negeri Sembilan dan Melaka, Dr Al’Ashari Othman berkata, ia membabitkan 200 petugas yang menjalankan kutipan sampah di kawasan perumahan di negeri ini.

“Kebiasaannya, jadual kutipan hanya membabitkan hari Isnin sehingga Sabtu namun dengan anjakan jadual itu mereka perlu bertugas pada Ahad ini untuk pelepasan cuti pada hari Rabu.

“Namun 42 petugas yang menjalankan kutipan sampah di kawasan komersial, pasar dan rumah kedai tidak dibenarkan cuti disebabkan di kawasan itu adalah kutipan sampah setiap hari.

“Bagi memudahkan mereka untuk membuang undi pada hari itu, jadual bertugas mereka yang sepatutnya bermula 7.30 pagi diawalkan pada jam 6 pagi yang mana mereka hanya menjalankan tugas dalam tempoh lima jam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, itu antara langkah yang diambil syarikat dalam memastikan kebersihan di kawasan yang dipertanggungjawabkan berada dalam keadaan bersih selain memudahkan petugas menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

“Selepas hari pengundian, jadual kutipan sampah dan waktu operasi syarikat berjalan seperti biasa,” katanya