JABATAN KESIHATAN ANJURKAN GOTONG-ROYONG BANTERAS WABAK DENGGI DI PAGOH

(PAGOH, 15 JULAI) Jabatan Kesihatan Muar dengan kerjasama agnesi seperti Majlis Perbandaran Muar (MPM), SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dan agensi yang berkaitan telah mengadakan aktiviti gotong-royong membanteras demam denggi.Penyemburan racun nyamuk telah dilakukan oleh pihak Jabatan Kesihatan Muar khususnya di lokasi tumpuan pembiakan nyamuk seperti longkang. Sementara itu, pihak MPM pula telah menyediakan bantuan pengutipan sampah yang telah dikumpulkan oleh penduduk setempat.

Penolong Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan Muar, Adnan berkata, aktiviti tersebut diadakan sebagai tindak balas kepada tiga kes demam denggi yang masing-masing berlaku sebanyak dua kes di Jalan Sekolah dan satu kes di Taman Takdir.

Jelas beliau, agensi terlibat akan membuat pengutipan sampah yang dikumpulkan oleh penduduk setempat manakala pihaknya pula akan melakukan penyemburan racun nyamuk dan jika ada keperluan, pihaknya akan mengadakan gotong-royong secara besar-besaran bagi tujuan membanteras wabak denggi.

Beliau turut meminta kerjasama penduduk untuk memeriksa halaman kediaman masing-masing agar tidak wujud sebarang tempat pembiakan naymuk. Pihaknya akan mengenakan denda sebanyak RM500 kepada pemilik kediaman sekiranya pemeriksaan mendapati wujudnya jentik-jentik.

Aktiviti tersebut telah turut disertai oleh Ketua Cawangan DAP Pagoh, Soh Shi Tee dan Naib Ketuanya, Ng Chin Hui.