INISIATIF KITAR3cycle DAN KOMPOS SISA MAKANAN PERTAMA DI JOHOR DILANCARKAN

(JOHOR BAHRU, 11 MEI) Selari dengan tanggungjawab menjaga alam sekitar bersama, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) bersama Tanah Sutera Development Sdn. Bhd. (Tanah Sutera) tampil melancarkan Program KITAR3cycle dan Kompos Sisa Makanan bertempat di Taman Sutera.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat, SWM Environment, Mohd Norlisam berkata, SWM Environment dan Tanah Sutera telah melancarkan dua inisiatif iaitu KITAR3cycle dan Kompos Sisa makanan. Jelasnya, Tanah Sutera akan mengedarkan tong berkapasiti 5 liter kepada 1,000 premis kediaman untuk membuang sisa makanan dan bakal dikutip setiap hari oleh pihak SWM Environment. Inisiatif pengkomposan sisa makanan pula adalah pertama seumpamanya di negeri Johor.

Manakala, bagi KITAR3cycle pula, kutipan barangan kitar semula akan dilaksanakan pada setiap hari Selasa dan penduduk bakal dibekalkan dengan kod bar yang membolehkan mata ganjaran direkodkan sebelum ditebus dalam bentuk wang tunai. Program yang bermula pada bulan Jun tersebut bakal dilaksanakan secara perintis selama 3 bulan. Sekiranya mendapat sambutan baik, kedua-dua inisiatif tersebut akan diperluas ke kawasan perumahan lain.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pra-Pelancaran Program KITAR3cycle & Kompos Sisa Makanan di Taman Suter yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri Johor, Tan Cheen Choon. Turut hadir adalah ADUN Skudai, Tan Hong Pin, Pengarah Eksekutif, SWM Environment, Dr. Uzir Abdul Malik, wakil rasmi Pengarah SWCorp Negeri Johor, Muhammad Rozai Rafiq Mohd Rohani, Pengurus Besar Tanah Sutera, Ng Boon Liong dan Penolong Pengurus Besar, Tan Koh Heng.

Dalam pada itu, Tan pula memaklumkan bahawa inisiatif pengkomposan sisa makanan telah dilaksanakan oleh Tanah Sutera sejak tahun 2014. Sejak dilaksanakan, sebanyak 1.7 metrik tan sisa makanan dikutip dan hampir 50 metrik tan sisa makanan dikumpulkan yang diproses menjadi baja kompos seberat 8 metrik tan. Baja kompos yang melalui proses tersebut akan digunakan bagi tujuan perkebunan di FOLO Farm dan landskap kawasan sekitar.

Sementara itu, Tan Cheen Choon berharap agar inisiatif tersebut dapat diperluas ke seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Johor. Inisiatif tersebut mampu membantu masyarakat melaksanakan kaedah Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (PSDP) dan pengkomposan bagi kegunaan selanjutnya.

Tambahnya, sebanyak 15 tapak pelupusan sampah di negeri Johor yang menghampiri jangka hayat tamat operasi. Lantaran itu, penghasilan sisa buangan wajar dikurangkan dan mampu mencecah sebanyak 22% menjelang tahun 2020.

TAN HONG PIN: PENDUDUK PERLU BERSAMA ASINGKAN SAMPAH

Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Skudai, Tan Hong Pin pula memaklumkan bahawa negara kini menggunapakai
teknologi Waste To Energey (WTE) dan tapak pelupusan tradisional. Beliau memberitahu bahawa dalam lawatannya ke China mendapati hampir 95% sisa buangan dikitar semula yang dilaksanakan di kilang pengasingan sisa pepejal.

Beliau yakin bahawa negara masih ada cara yang sesuai untuk menguruskan sisa pepejal. Di samping itu, masyarakat umum diseru untuk melaksanakan kaedah Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (PSDP) selain membuat pengkomposan sisa makanan.