Elak disenarai hitam, penganjur Bazar Ramadan perlu jaga kebersihan

(JOHOR BAHRU, 20 Jun 2017) Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Datuk Md. Jais Sarday berkata, penganjur bazar Ramadan perlu memastikan tapak penganjuran bersih daripada sampah. Jika tindakan sedemikian tidak diambil, pihak penganjur akan disenarai hitam dan permohonan perniagaan di bazar Ramadan mereka akan ditolak pada masa hadapan.

Katanya, tapak-tapak bazar Ramadan dianjurkan di tempat awam seperti kawasan letak kenderaan atau jalan-jalan utama. Sempena sambutan perayaan nanti, para peniaga dan penganjur bazar perlu membersihkan tapak penganjuran dengan sempurna. Beliau telah mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan tegas berhubung perkara berkenaan.

Pada masa kini, negeri Johor mempunyai sebanyak 215 lokasi tapak Bazar Ramadan di kesemua kawasan PBT. Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Stratagi Operasi Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Iftar SWM-Media Johor 2017.

YB Datuk Md. Jais juga meminta orang ramai membuat pengasingan sisa pepejal di punca dan melupuskan sisa pukal di lokasi yang sesuai. Jangan mengeluh jika tindakan penguatkuasaan diambil terhadap para pelaku. Sempena musim perayaan ini, penjanaan sampah dijangka meningkat seganda, jika orang ramai membuat persediaan dengan teratur, makanya, tiada sebarang tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka.

SWM ENVIRONMENT: 40% PEKERJA BERTUGAS SEMPENA AIDILFITRI

Pengurus Wilayah Johor, SWM Environment, En. Mohd Zan Arris berkata, SWM Environment mempunyai tenaga kerja seramai 4,300 orang di seluruh negeri Johor. Dijangka 30%-40% tenaga kerja akan bertugas pada Hari Raya pertama dan akan bertambah sehingga 70% pada Hari Raya kedua.

Tambah beliau lagi, perkhidmatan pengutipan sisa pepejal sempena Aidilfitri ini akan ditumpukan di kawasan perumahan yang bermajoriti penduduk Melayu dan Islam tertutamanya di luar kawasan Johor Bahru seperti Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi dan lain-lain. Perkhidmatan akan beroperasi seperti biasa selepas musim perayaan.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Pengarah Eksekutif SWM Environment, Dr. Uzir Abd. Malik.