Dihina tetapi halal

Seremban: “Mungkin ramai menganggap kerja kami hina dan kotor, tetapi itulah sumber rezeki yang halal untuk anak dan isteri,” kata Md Zaidi Yahya, 48, pemandu lori kompaktor SMW Environment Sdn Bhd menceritakan pengalamannya bekerja sebagai pemandu lori sampah di daerah ini.

Md Zaidi berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai pemandu lori kontena dari daerah ini ke Singapura namun memilih untuk berhenti kerja kerana jauh daripada keluarga pada 2008.

Dia diterima bekerja di SWM Environment dan melalui kehidupan sebagai pemandu lori sampah dengan pelbagai kisah suka dan duka.

“Pada awal pekerjaan, saya geli mengutip sampah apatah lagi melihat banyak ulat dan bau busuk. Lama kelamaan ia menjadi kebiasaan, malah saya boleh makan walaupun terhidu bau busuk,” katanya yang sudah sembilan tahun berkhidmat.

Dia tidak perlu malu kerana pendapatan diterimanya dapat membesarkan tiga anak yang berusia antara tiga dan 18 tahun.