Denggi di Muar turun 38%, 100 kes dicatat setakat November

Summary: District Officer of Muar mentioned SWM Environment in his closing remark during Program Gotong-Royong

(MUAR, 3 DISEMBER) Peratusan kes demam denggi dikesan menurun di Muar sebanyak 38% dengan 100 kes demam denggi setakat bulan Januari sehingga November tahun ini berbanding 162 kes pada tahun lalu

Pegawai Daerah Muar, En. Onn Jabbar berkata demikian semasa Acara Penutup Program Gotong-Royong Taman Mawa dan Taman Joned Perdana pada hari ini di sini.  Menurut laporan terkini daripada pihak Jabatan Kesihatan, kes demam denggi telah menurun sebanyak 38% berbanding tahun lalu. Beliau menyeru penduduk Muar untuk terus memberikan kerjasama untuk menjaga kawasan sekitar dengan tidak membuang sampah merata-rata bagi mengelakkan wujudnya kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

Beliau juga mengingatkan bahawa kerja-kerja pembersihan dan pengurusan sampah bukan tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) semata-mata, sebaliknya ia adalah tanggungjawab bersama. Tambah beliau, sektor pelancongan di daerah tersebut juga didapati sedang membangun dan yakin bakal menyumbang kepada ekonomi dan membawa manfaat kepada penduduk Muar.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Perbandaran Muar, En. Tan Boon Guan berharap agar program gotong-royong sebegitu dapat memupuk kesedaran orang ramai tentang kebersihan sekitar dan seterusnya bersama-sama membanteras wabak denggi dengan memastikan tiada tempat takungan air di kawasan kediaman.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, En. Quek Aik Jui, Ahli Majlis Perbandaran Muar, En. Tee Tiong Peir dan Ketua Jabatan Kesihatan Daerah Muar, Pn. Norhaidah