Budaya gotong-royong subur terserlah

MELAKA: Gabungan kerjasama penduduk dan agensi kerajaan merealisasikan program Gotong-Royong Perdana Kampung Bukit Punggur, di sini, hari ini.

Turut diadakan, Majlis Ramah Mesra Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Noor Effandi Ahmad.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Punggor, Shamsul Hezri Mohd Nor, berkata menerusi program itu, penduduk bersama kakitangan agensi kerajaan membersih kawasan kampung, tanah perkuburan, surau, longkang dan mencantas pokok.

Katanya, program itu menyaksikan budaya gotong-royong terus subur dalam kalangan masyarakat di peringkat kampung, sekali gus mengeratkan hubungan sesama mereka.

“Program ini juga dilihat platfrom terbaik dalam memupuk perpaduan kaum apabila ia disertai penduduk pelbagai bangsa,” katanya.

Program itu dijayakan dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Telok Mas, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan SWM Environment Sdn Bhd (SWM).

Sementara itu, Pengerusi Surau Bukit Punggur, Oyub Abd Samad, berkata selain membersihkan persekitaran kampung, peserta juga membaik pulih surau Bukit Punggur dengan mencuci dan mengecat semula surau.

Katanya, surau yang dibina pada 1950-an itu masih digunakan sehingga sekarang dengan pelbagai aktiviti terus diadakan termasuk ceramah agama dan program kemasyarakatan.