Buat pelan struktur pastikan pembangunan PD terancang – Anwar

PORT DICKSON: Semua projek di Port Dickson ditangguhkan kelulusan oleh pihak berkuasa, sehingga pelan struktur bagi memastikan pembangunan di daerah ini lebih tersusun siap sepenuhnya.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelan itu juga penting supaya infrastruktur lebih lengkap dalam usaha mempromosikan daerah ini sebagai lokasi pelancongan.

“Minggu depan saya akan mengadakan mesyuarat dengan kerajaan negeri dan pihak berkaitan bagi membincangkan mengenai pelan struktur terbabit.

“Setakat ini saya sudah mengarahkan pihak berkuasa supaya menangguhkan terlebih dahulu kelulusan sebarang projek sehingga pelan struktur ini siap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Membersihkan Pantai Port Dickson di Pantai Cahaya Negeri di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Anwar turut melancarkan jentera pembersihan baharu SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) ‘Robot Street Sweeper’.

Beliau bersama masyarakat setempat serta artis tempatan antaranya Jasmin Hamid, Shahanaz Ahmad, Putri Aishah dan Atikah Suhaimi kemudian ke Pantai Saujana, Pantai Tanjong Gemuk, Pantai Teluk Kemang dan Pantai Tanjung Biru bagi program sama.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pelan itu penting kerana ketika ini terdapat beberapa projek besar dalam perancangan termasuk pembinaan dua hotel lima bintang dan kompleks perniagaan.

Namun katanya, ketika ini dia mendapat laporan berlaku kejadian banjir hampir setiap minggu di beberapa kawasan di daerah ini.

“Bila saya bertanya kepada pihak berkuasa, mereka maklumkan perlu dalamkan sungai dan menaik taraf sistem perparitan. Pantai pula perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih sebagai tarikan utama pelancong ke kawasan ini.

“Sebab itu pelan struktur secara menyeluruh ini penting dan pihak terbabit perlu memastikan infrastruktur yang sesuai tersedia sebelum projek siap sepenuhnya nanti,” katanya.

Anwar berkata, beliau sudah berbincang dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai peruntukan untuk menambah kemudahan di kawasan itu.

“Beliau (Guan Eng) memaklumkan tidak dapat memberi perhatian khas di kawasan ini tetapi boleh memberi kemudahan tambahan untuk memastikan infrastruktur teratur,” katanya.