Anjak jadual perkhidmatan

JOHOR BAHRU – SWM Environment Sdn Bhd (SWM) akan melaksanakan pendekatan khusus bagi
melicinkan operasi perkhidmatan yang disediakan di seluruh 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) di negeri ini.Pengurus Wilayah Johor, Mohd Zan Arris berkata, anjakan jadual perkhidmatan antara pendekatan khusus yang dilaksanakan pihaknya bagi menyambut ketibaan Ramadan.Menurutnya, langkah tersebut bermula sejak 12 Mei lalu bagi membolehkan majoriti warga kerja SWM beragama Islam menyambut Ramadan.

“Di samping itu, pihak SWM akan meneruskan inisiatif sosial Ops Deko Raya bagi membantu setiap pemilik premis kediaman yang lazimnya mengadakan aktiviti pembersihan secara menyeluruh bila tibanya musim perayaan.

“Pendekatan yang bermula sejak tahun lalu juga dilihat sebagai langkah awal bagi mengawal limpahan sampah dan membendung penularan longgokan sampah haram daripada berlaku pada musim perayaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zan berkata, inisiatif Ops Deko yang berteraskan Sistem Kutipan 2+1 itu bakal memberikan penekanan khusus kepada operasi pengutipan sisa pukal seperti barangan perabot dan sisa kebun.

“Malah, inisiatif ini turut menggalakkan amalan kaedah Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (PSDP) bagi barangan kitar semula daripada kertas, plastik atau bahan kitar semula.

“Pendekatan ini bagi mengingatkan orang awam tentang perkhidmatan pengutipan ketiga-tiga kategori sisa buangan tersebut disediakan secara percuma,” katanya.