30 RIBU TAN METRIK SEHARI – SHAHRUL AMIR – DIJANGKA MENINGKAT 40 RIBU TAN METRIK MENJALANG 2020

(JOHOR BAHRU, 13 OKTOBER) Pegawai SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment), Shahrul Amir Abd Rahim memaklumkan bahawa penghasilan sisa pepejal akan meningkat daripada kini pada angka 33,500 tan metrik sehari kepada 40,000 tan metrik sehari menjelang tahun 2020.

Justeru itu, beliau meminta orang ramai membudayakan amalan kitar semula untuk mengurangkan pelupusan sampah selain menukarkan pandangan tentang barangan kitar semula membawa manfaat berbanding menjadi sampah.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan taklimat kesedaran sempena Program Kitar Semula Johor Jaya anjuran bersama Persatuan Kitar Semula Negeri Johor dan Sekolah Menengah Johor Jaya (2).

Peningkatan populasi akan turut menyaksikan pertambahan penghasilan sampah. 80% daripada 238 tapak pelupusan di seluruh negara kini telah tamat tempoh hayatnya. Manakala, banyak kawasan di sekitar perumahan pula dijadikan tapak pelupusan haram yang menimbulkan masalah pengurusan sampah, kebersihan setempat selain menjadi punca pencemaran alam sekitar.

”Masalah sampah merupakan isu kritikal yang dihadapi negara dan pengurangan sampah perlu diutamakan. Kesedaran dan maklumat berkaitan perkara tersebut perlu diberikan kepada masyarakat.”

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Alam Sekitar Negeri Johor, Hamzah Atan pula berharap agar orang ramai dapat pupuk kesedaran untuk menjaga alam sekitar dan tidak membuang sampah di merata-rata tempat.