“Bukan setakat tumpuan kepada ilmu Islam itu saja, malah tumpuan kepadapembentukkan akhlak Islam itu yang akan diterapkan,”

Begitulah kenyataan dari Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidik Johor, Aminolhuda Hassan ketika sidang media selepas Majlis SWM Kasih Jom Sekolah di Pekan Nanas Johor.

Menurut beliau, akhlak Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad adalah suatu pratikal yang baik untuk diasaskan dalam masyarakat.

“Akhlak bukan sahaja dapat membawa masyarakat menjadi insan yang terbaik malah ia akan menjadikan sebuah negara itu terdidik dengan nilai-nilai murni.

“Mengambil contoh akhlak yang baik ditonjolkan oleh rakyat di Jepun yang mana sehinggakan mereka di sana dalam perkara kecil sekali pun mereka tetap dengan displin yang baik.

“Hakikatnya akhlak ini telah lama diikuti di negara-negara maju seperti di United Kingdom, Perancis dan beberapa lagi negara maju yang lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberi respon terhadap cadangan Menteri Pendidikan berkenaan penilaian tahap satu yang tidak akan mengambil peperiksaan.

Beliau menyatakan penerapan pendidikan berskala baharu ini adalah dengan memfokuskan kepada penilaian holistik.

“Di negara maju seperti di Eropah pratikal berkenaan dengan penilaian bukan berasaskan penulisan ini telah lama dijalankan dan ia menjadi suatu contoh yang baik serta tidak membebankan murid.

“Pendidikan secara santai yang tidak membawa kepada struktur seperti sebelum ini hanya menumpukan kepada perkara berbentuk tulisan akan dibincangkan secara terperinci.

“Antara lain kita juga mahu menggalakkan murid untuk menjadi lebih berani serta melakukan kerja secara berkumpulan. Itu juga adalah suatu penilaian yang akan diambil kira,” ujarnya lagi.

Dalam program SWM Kasih Jom Sekolah, beliau telah menyampaikan sumbangan kepada murid yang akan memulakan persekolahan terutamanya mereka dari kalangan yang kurang bernasib baik.

Program yang dianjurkan oleh pihak SWM Enviroment Sdn Bhd turut dihadiri Adun Pekan Nanas Yeo Tung Siong serta Ahli Majlis kawasan tersebut.