Kutipan sisa pepejal SWM beroperasi seperti biasa pada Aidilfitri

JOHOR BAHRU, 7 Jun (Bernama) — Perkhidmatan kutipan sisa pepejal SWM Environment Sdn Bhd (SWM) akan tetap beroperasi seperti biasa pada hari pertama dan kedua Aidilfitri.Pengurus SWM Environment Wilayah Johor Mohd Zan Arris berkata kutipan pada hari berkenaan akan ditumpukan di kawasan pusat bandar, kawasan protokol dan yang padat dengan penduduk beragama Islam bagi membendung limpahan sampah.

“Dijangkakan kadar pembuangan sisa pepejal pada sambutan Aidilfitri ini akan meningkat 12 peratus daripada hari biasa,” katanya kepada pemberita pada sidang media Strategi Operasi Aidilfitri SWM Environment di sini hari ini.

Mohd Zan berkata lazimnya, kutipan sisa pepejal di negeri ini adalah sebanyak 3,600 tan sehari dan ia dijangka meningkat antara 3,800 dan 4,000 tan sehari pada musim perayaan.

Beliau berkata operasi penyapuan jalan akan dilaksanakan seperti biasa di pusat bandar dan kawasan protokol manakala kerja pemotongan rumput dan pembersihan longkang pula ditangguhkan pada Aidilfitri sebelum kembali beroperasi pada 17 Jun.

“Sebagai sebuah syarikat konsesi yang bertanggungjawab mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di 15 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor, SWM Environment optimis dalam membendung limpahan sampah yang dijangkakan berlaku ketika Hari Raya tahun ini.

“Bagi memastikan sambutan Aidilfitri berjalan lancar, SWM Environment meminta orang ramai memanfaatkan talian Indahkan Malaysia iaitu 1-800-88-7472 yang beroperasi seperti biasa ketika Hari Raya pertama dan kedua,” katanya.

— BERNAMA